Wednesday, May 26, 2010
Tidur - tidur ayam
Kali ini Pak Nuri ingin berkongsi pengalaman di laut selain menjadi tempat kita mencari rezeki, laut juga tempat yang penuh dengan cabaran walaupun tidak sesibuk se perti di darat. Namun laut tetap dikategorikan sebagai tempat berbahaya yang mesti difikirkan sebelum melangkah turun ke laut.
Pengalaman yang hendak dikongsikan kali ini walaupun dianggap ringan tapi faedahnya besar. Kaki pancing yang sentiasa menjalani aktiviti memancing di laut digalakkan supaya belajar `tidur-tidur ayam' terutama kepada tekong. Cara berkenaan mempunyai kebaikan terutama untuk menjaga keselamatan dan bertindak pantas jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Tidur-tidur ayam dalam bot tidak banyak menimbulkan masalah kerana tidak perlu disediakan tilam atau bantal kerana kita bukan bertujuan untuk tidur nyenyak semasa menjalankan aktiviti memancing namun tidur untuk berehat supaya mendapat semula tenaga, sebelum meneruskan aktiviti memancing yang mungkin berlarutan hingga beberapa hari.
Tidur nyenyak yang panjang ketika di laut merugikan masa yang sepatutnya digunakan untuk memancing, sebab itu tidur-tidur ayam digalakkan supaya masa memancing lebih panjang.
Satu lagi tidur-tidur ayam juga untuk menjaga keselamatan. Pernah berlaku peristiwa yang hampir meragut nyawa sepuluh pemancing dalam satu bot yang dapat mengubah haluan kapal dagang daripada melanggar bot pemancing terbabit.
Pemancing yang tidur-tidur ayam dapat melakukan tindakan keselamatan dengan memberi isyarat lampu kepada kapal terbabit yang akhirnya dapat dikesan oleh kapal yang berhadapan dengan mereka. Sebab itu kebanyakan tekong dan pemancing berpengalaman tahu cara bagaimana untuk tidur-tidur ayam ketika berada di laut.
Oleh Nuri Angkasa (Petikan dari Joran, Berita Harian)
Wednesday, May 19, 2010
Buah-buahan masam ubat mabuk laut
Pandangan beberapa veteran nelayan boleh diberi perhatian mengenai masalah ini. Mual atau mabuk laut berlaku sejak dulu lagi dan pelbagai usaha dilakukan untuk mengatasinya. Hasilnya, pelbagai cara dan kaedah dilakukan bagi mengekang musibah itu yang pasti akan membantutkan keseronokan dan pemburuan. Namun paling mudah dan berkesan ialah dengan membawa makanan ringan seperti buah-buahan atau gula-gula yang tidak keterlaluan masamnya.
Gula-gula yang ada rasa masam biarkan sentiasa berada dalam mulut untuk mengelak tekak tidak kering. Cengkih juga dapat membantu sebagai langkah ikhtiar mencegah daripada menghadapi mabuk atau mual serta tekak kering.
Pernah berlaku dalam beberapa aktiviti memancing laut dalam, keadaan cuaca panas terik mengakibatkan beberapa kaki pancing diserang mabuk, mual-mual dan tekak kering. Walaupun mereka sudah meneguk beberapa botol air tetapi keadaan masih berada pada tahap yang sama. Namun setelah diberi cengkih untuk beberapa ketika, keadaan mabuk dan kering tekak dapat dipulihkan.
Kemudian anda perlu mengelak daripada terus mendedahkan diri di bawah bahang panas matahari dalam tempoh yang lama.
Faktor lain yang perlu diambil kira ialah memakan buah-buahan masam yang mengandungi banyak air supaya badan sentiasa berada dalam keadaan lembap dan berair selain daripada berpeluh.
Pada masa sama, anda perlu mengambil tindakan ketika berada di laut untuk mengelak daripada terus mabuk dan muntah.
Antara petua terbaik demi menjaga keselamatan, anda dinasihatkan tidak membongkok di bibir bot dengan menghulurkan kepala keluar ketika melepaskan muntah. Perbuatan ini sangat berbahaya kerana risiko anda boleh terhumban ke laut sangat besar dalam keadaan kawalan diri anda yang sudah tidak menentu atau tidak seimbang itu.
Namun dalam apa juga keadaan, kerjasama daripada semua pemancing dalam bot mesti dilakukan bagi bertindak sebagai sebuah pasukan.
Oleh Nuri Angkasa (Petikan dari Joran, Berita Harian)
Joran sebatang cukup untuk teroka laut
Ada sesuatu yang menarik ketika Pak Nuri berbual dengan seorang pemancing veteran dari perkampungan nelayan di Besut, Terengganu baru-baru ini. Dia hanya cuma membawa beberapa peralatan memancing yang difikirkan perlu untuk satu-satu masa. Cara ini sudah tentu dianggap lebih selesa dan kita tidak perlu memikirkan untuk membuat pilihan yang terlalu banyak ketika di atas bot.
Sikap dan amalan ini dianggap paling sesuai. Justeru, Pak Nuri mencadangkan kepada semua kaki pancing terutama kaki pancing udang galah di sungai supaya tidak mengamalkan membawa joran pancing sehingga sepuluh batang yang diikat dalam satu berkas macam kayu api!
Adalah lebih sesuai dan munasabah dengan menggunakan dua batang joran saja jika memancing di laut. Malah sikap membawa terlalu banyak joran juga dirasakan tidak selesa jika joran disambar ikan serentak.
“Tentu kelam kabut dibuatnya,” kata pemancing veteran itu yang mendapat gelaran Pokde Deris sambil menggayakan dua belah tangan menjulang joran pancing.
“Habis (kalau terlalu banyak joran) macam mana nak gulung tali?” katanya sambil ketawa besar mengingatkan peristiwa benar yang berlaku pada dirinya ketika muda dulu.
Sambil meletakkan dua batang joran lamanya di lantai serambi rumah, dia menggeleng kepala kerana terlepas dua rezeki yang sudah berada dalam tangan kerana tidak dapat mengawal kedua-dua jorannya dengan baik.
“Kalau satu joran, kata adat dah tentu mangsa dapat didaratkan. Tetapi ada yang tamak maka rezeki terlepas begitu saja,” suaranya kesal lalu mengingatkan kepada semua kaki pancing supaya tidak menggunakan joran pancing lebih dari dua batang dalam satu-satu masa.
Cara ini juga tidak menyusahkan rakan pancing yang lain selain tidak banyak tali yang dilabuhkan ke dasar yang boleh mengundang tali tersangkut antara satu sama lain dalam keadaan arus yang kadang-kadang bertukar sekelip mata.
Justeru, daripada pengalaman Pokde Deris adalah lebih jelas dan baik untuk kita menjadikan petua amalan dengan membawa peralatan memancing secara terhad demi memberikan keselesaan kita yang hendak memancing dan tidak mengganggu rakan pancing yang lain. Ini sekali gus tidak membawa beban yang berat kerana tidak semua peralatan berkenaan di gunakan pada satu-satu masa.
Keselesaan perlu diambil kira untuk memancing bukan beban yang banyak di bawa ketika hendak turun memancing sama ada di kolam, tasik, muara mahupun laut dan sungai.
Oleh Nuri Angkasa (Petikan dari Joran, Berita Harian)
Jangan buang tangkapan pertama
Petua kali ini memfokuskan kepada pemancing di laut. Justeru, ingatlah apabila kita mendapat ikan pertama sebaik saja mulakan aktiviti memancing maka itu adalah rezeki dari Allah dan tidak harus dibuang semula ke laut jika ikan itu sangat kecil atau spesies ikan yang tidak berguna.
Pendapat dan pandangan beberapa orang nelayan veteran yang ditemui mengakui bahawa rezeki pertama itu jika dibuang semula ke laut atau tasik mahu pun sungai ertinya kita tidak mensyukuri nikmat pemberian Allah sedangkan kita mencari rezeki lumayan buat keluarga.
Pernah berlaku nelayan pulang dengan tangan kosong kerana dikatakan membuang ikan pertama yang tersangat kecil yang dinaikkan dan selepas itu beliau tidak dapat seekor ikan pun hingga pulang.
“Bagaimanapun ini tidak harus diletakkan sepenuh kepercayaan, kerana rezeki datangnya dari Allah. Justeru, Allah yang menentukan sama ada kita bernasib baik atau sebaliknya selepas memperoleh tangkapan pertama itu.
“Cuma logiknya rezeki yang diberi itu kita kena mensyukuri dan tidak membuangnya semula,” kata Tok Ayub seorang nelayan veteran dari Kesang Laut, Melaka.
Pernah berlaku peristiwa begini kepada seorang pemancing laut di perairan Pulau Jarak yang mendakwa beliau tidak memperoleh seekor ikan pun sepanjang ekspedisi tiga hari dua malam kerana membuang anak ikan kerapu pada tangkapan pertama.
Namun beliau tidak langsung mengaitkan bahawa perkara itu menyebabkan beliau tidak bernasib baik. Cuma ada kemungkinan hari itu bukan harinya.
Apa pun bagi Pak Nuri, rezeki yang datang dari Allah adalah pasti dan sebaliknya cuma terpanggil mengisi logik dan kebenaran yang nyata bahawa sebarang rezeki yang diberi Allah sama ada baik atau tidak kita kena menerimanya dengan ikhlas.
Bagi Pak Nuri, langkah terbaik dan mensyukuri nikmat rezeki yang diberi Allah walau sekecil mana sekali pun kita kena menerima dengan ikhlas dan tidak membuangnya semula ke laut bagi pemancing yang memancing di laut malah adalah baik sebarang tangkapan pertama itu diambil sebagai rezeki berkat dari Allah.
Oleh Nuri Angkasa (Petikan dari Joran, Berita Harian)
Pemancing latah, sawan perlu jujur
Rakan pancing dalam kumpulan besar atau kecil adalah saudara paling rapat antara satu sama lain walaupun itu mungkin kali pertama menyertai kumpulan berkenaan.
Ketika di laut, kita perlu bekerjasama (team work) dalam apa juga keadaan. Mengasingkan diri adalah satu sifat yang merugikan diri sendiri. Malah keadaan lebih merbahaya jika kita ditimpa kemalangan yang memerlukan bantuan kawan.
Dalam bot tidak ada ibu bapa, saudara mara, doktor atau pakar bedah untuk memberikan bantuan selain rakan pancing berada dalam kumpulan itu yang akhirnya akan memberi bantuan apabila diperlukan.
Bekerjasama dan sifat suka menolong adalah budaya kita orang Melayu. Dengan cara atau sikap ini juga kita dapat membantu atau membuat persediaan lebih awal jika pemancing perlu diberi pertolongan. Kepada ahli kumpulan yang ada penyakit latah yang tidak boleh tersentuh atau terperanjat atau ada yang mempunyai penyakit sawan; sentiasa terdedah kepada pelbagai bahaya ketika berada di laut.
Setiap ahli dalam kumpulan perlu mendapat maklumat mengenai perkara ini terutama bagi rakan pancing yang baru menyertai mereka. Pak Nuri difahamkan, sering berlaku kemalangan seperti pemancing terjun ke laut apabila si latah diusik atau terperanjat. Orang yang melatah juga akan bertindak sama ada kasar, membahayakan pemancing atau diri sendiri. Justeru, ingatlah bahawa di atas bot bukan tempat untuk bergurau senda dengan si latah.
Begitu juga dengan penghidap sawan laut yang sudah tidak dapat dikawal. Justeru, menjadi tanggungjawab ahli dalam kumpulan untuk membantu dan sentiasa peka dengan keadaan ini.
Jika seseorang pemancing menghidap mana-mana penyakit itu maka berterus terang kepada rakan pancing dalam kumpulan adalah satu cara paling baik. Jangan malu untuk menyatakan keadaan sebenar sebab keadaan lebih buruk boleh berlaku jika kita berdepan dengan situasi yang datang secara mendadak dan dalam keadaan tidak bersedia.
Adalah menjadi harapan Pak Nuri supaya pemancing terbabit berterus terang terutama kepada pemancing yang baru menyertai kumpulan atau trip memancing supaya langkah awal dapat disediakan atau semua pemancing sudah dimaklumkan dan akan bertindak pantas jika berlaku keadaan yang tidak diingini.
Segan atau malu yang memerangkap diri sendiri terus berdepan dengan keadaan lebih buruk dan menyusahkan rakan kumpulan adalah satu perbuatan yang merugikan dan tidak wajar untuk menjadi seorang pemancing laut.
Oleh Nuri Angkasa (Petikan dari Joran, Berita Harian)
Anggap tidak dapat ikan sebagai ujian
Ada beberapa petua yang perlu diamalkan. Ini tidak ada kaitan dengan mengamalkan serapah jampi atau kepercayaan yang boleh memisahkan akidah sebenar yang dituntut oleh agama Islam. Kita kena berpegang pada kalam Allah - rezeki, jodoh pertemuan dan kematian di tangan Allah - dan berusaha itu satu kewajipan.
Justeru, petua memancing untuk mendapat ikan, kita kena tahu jenis umpan yang digemari oleh spesies ikan di sesuatu kawasan memancing, waktu ikan lapar dan memburu umpan. Arus air laut dan perambut panjang atau pendek turut memainkan peranan bagi menarik perhatian spesies ikan.
Lokasi tukun, lubuk atau karang yang sudah dikenal pasti ada dihuni ikan dan umpan yang terbaik seperti ikan atau udang hidup tentu berjaya menjinakkan ikan dengan teknik pancing dasar atau jigging.
Dalam soal ini, tidak ada amalan serapah jampi diguna pakai bagi menarik perhatian ikan. Namun apa yang berlaku di dasar laut ialah umpan terbaik saja yang akan diburu ikan. Anda perlu selalu menukar umpan sambil bermain tali supaya umpan yang terapung itu dapat menarik perhatian ikan yang berlegar-legar di dasar.
Usaha ini perlu dilakukan dengan sabar dan yakin walaupun kadang kala ada umpan pemancing yang tidak disentuh langsung oleh sebarang ikan dalam masa yang begitu panjang sedangkan rakan pancing di kiri kanannya sudah berjaya mendaratkan pelbagai spesies ikan.
Kerana terlalu kecewa, ada pemancing akan sering bertukar-tukar joran dengan rakan sebelah. Namun beliau tetap menerima nasib yang sama. Sedangkan rakan yang menggunakan joran yang berpindah tangan itu terus mendaratkan ikan seperti biasa.
Justeru, ini bukan salah joran atau umpan yang tidak kena. Umpan yang digunakan adalah sama dan kadang kala tekong sendiri yang memasangnya. Berakhir ekspedisi 24 jam atau 36 jam, pemancing itu menerima nasib kurang baik kerana tiada seekor ikan yang dapat dipancing.
Siapa yang salah dalam perkara ini? Kenapa ikan tidak mahu menyentuh umpan pemancing ini? Sedangkan ikan mungkin banyak di dasar dan meragut umpan yang sama digunakan oleh rakannya?
Dalam situasi begini, kita harus menerima hakikat bahawa mungkin ini satu dugaan Allah dan tentu ada hikmah di sebaliknya. Anda jangan sekali-kali menyalahkan diri sendiri atau lebih teruk anda menganggap diri anda seorang yang malang.
Ingatlah, Allah yang menentukan nasib anda dan rezeki yang bakal diperoleh kelak. Syaratnya anda kena bersabar dan sentiasa bersyukur.
Oleh Nuri Angkasa (Petikan dari Joran, Berita Harian)
Pelajari amaran ribut, hujan ketika di laut
Justeru petua Pak Nuri kali ini lebih tertumpu kepada angin yang lebih awal tiba sebelum berlaku ribut. Menurut kepercayaan nelayan veteran yang sering berdepan keganasan laut terpaksa mempelajari tanda-tanda ribut akan turun, gelombang besar akan tiba, hujan, guruh dan kilat. Pastinya ada cerita tersendiri yang perlu dikaji untuk dijadikan petua bagi generasi muda hari ini.
Ada sesetengah tekong muda tidak mengambil berat tentang tanda atau mengambil mudah namun antara anda kaki pancing yang ada pengalaman harus memberikan kerjasama untuk berbincang dengan tekong sebagai langkah keselamatan.
Ketika dalam ribut dan gelombang besar sedang melanda laut, tiba-tiba hujan lebat dan ini satu tanda baik buat kaki pancing kerana hujan dapat membunuh angin dan gelombang. Anda kena bersabar kerana sebaik saja ribut berhenti dan gelombang besar kian menurun tentunya spesies ikan di dasar lapar dan kesempatan ini jangan anda abaikan.
Apa pun sesetengah tekong mudah untuk meninggalkan kawasan perlindungan kerana tidak mahu terperangkap dengan datangnya ribut kedua yang masih degil namun harapan untuk untuk melakukan aktiviti memancing terbuka luas sebaik saja ribut reda, cuma anda dan tekong mesti bekerjasama dan tidak mudah melatah kerana laut walaupun sudah berwajah baik tapi jaminan seratus peratus baiknya itu belum boleh dipercayai.
Perkara penting untuk diambil kira semasa berada di laut ialah tanda amaran ribut akan turun serta tanda ribut akan berhenti perlu dijadikan petua yang terus kekal dalam ingatan anda kaki pancing.
Oleh Nuri Angkasa (Petikan dari Joran, Berita Harian)
Pemancing muda perlu tingkat ilmu
TUGAS seorang pemancing bukan hanya menyediakan peralatan yang canggih atau mahal saja sebaliknya masih banyak ilmu yang perlu dipelajari sama ada melalui pengalaman dan bertanya daripada pemancing berpengalaman atau veteran.
Tanpa ilmu yang cukup atau banyak aktiviti memancing pasti akan hilang keseronokannya. Sebab itu ada dia antara pemancing yang tiba-tiba hilang dari padang memancing atau menjual peralatan kerana bosan.
Minggu ini Pak Nuri ingin berkongsi pengalaman mengenai beberapa ilmu memancing yang sepatutnya diketahui seorang yang baru ingin menceburi dalam bidang keseronokan dan keindahan aktiviti memancing.
Kebanyakan pemancing muda sangat kurang llmu mengenali ikan yang dipancing. Ini menyebabkan ada di antara mereka kadang-kadang membawa pulang ikan beracun dan ada di antara mereka terkena sengat atau tercucuk duri secara tidak sengaja.
Manakala ada pemancing yang membiarkan ikan yang tidak dikehendaki di darat menyebabkan ia mati. Ikan yang tidak mahu diambil lepaskan semula ke laut, sungai atau kolam.
Pak Nuri ucapkan syabas kepada sesetengah pemancing yang profesional dan berpengalaman yang mengamalkan tangkap dan lepas kepada spesies yang dilindungi seperti ikan layar, yu, sesirat dan ikan depu.
Muara sungai zon bahaya kepada pemancing
Keselamatan diri yang hendak dikaitkan pada kali ini ialah semasa bot bot yang hendak memasuki kuala justeru tekong-tekong sudah maklum tentang bahaya yang bakal di lalui dan tentunya berjaga-jaga, tapi pemancing tentunya tidak banyak yang memikirkan bahaya ini.
Pak Nuri melalui pengalaman sebagai warga pelaut sejak kecil lagi sudah diberi penerangan mengenai bahaya di muara sungai. Air sungai yang keluar dan air laut yang masuk akan bertembung lalu menjadi pecahan gelombang yang tidak menentu dan berbahaya jika bot tidak dapat dikawal terutama bot-bot laju gantian kaca. Sebab itu peristiwa bot tenggelam sering kita dengar apabila hendak masuk ke muara.
Daripada peristiwa yang berlaku ini Pak Nuri terpanggil untuk jadikan petua supaya kaki pancing mengambil kira soal keselamatan diri semasa pulang atau hendak keluar dari kawasan kuala. Selalu ingatkan tekong terutama tekong muda yang kadang kala terlepas pandang, terlupa atas sebab-sebab tertentu.
Justeru sifat ingat mengingatkan itu adalah satu amalan yang sangat baik untuk pemancing lakukan semasa berada dalam sebuah bot. Terbaik untuk dilakukan oleh pemancing semasa berada dalam kawasan Zon Bahaya ini agar semua pemancing berada dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang bahaya yang bakal berlaku.
Berdoa kepada Allah untuk keselamatan itu paling baik untuk dilakukan.
Bagi nelayan atau warga pelaut yang sudah lama mengenal laut, muara sungai adalah kawasan paling utama diberikan perhatian sama ada keluar atau masuk. Bagi laut terbuka seperti di Kelantan, Terengganu dan Pahang, kuala sering terjadi malapetaka bot karam dan ada yang mengorbankan nyawa.
Berjaga-jaga semasa berada dalam zon bahaya ini sekali gus jadikan petua, kerana petua adalah terbaik dari sebarang kepercayaan.
Oleh Nuri Angkasa (Petikan dari Joran, Berita Harian)
Ais hentikan darah luka
KAKI pancing perlu pantas berfikir dan segera berikhtiar apabila ditimpa musibah ketika memancing sama ada di laut, sungai, paya mahupun tasik. Langkah awal yang perlu dilakukan apabila rakan mengalami masalah ialah mententeramkan dan memulihkan mangsa.
Petua Pak Nuri kali ini memfokuskan tentang luka yang mengeluarkan banyak darah ketika berada di lokasi memancing. Ketika berada di dalam bot, memancing di laut lepas mangsa dinasihatkan supaya tidak merenjis darah ke laut atau membasuh darah (tangan atau kaki yang luka) ke permukaan air kerana di bimbang ada spesies ikan ganas mengejar darah berkenaan.
Malah ada perkara lain yang patut difikirkan. Ini kerana laut adalah kawasan paling banyak bermain dengan makhluk halus yang kita tidak dapat melihat dengan mata kasar. Langkah terbaik ialah darah mangsa perlu dicuci dengan air bersih atau sekurang-kurangnya ais yang digunakan untuk menyimpan ikan bagi menghentikan pengalirannya.
Jika darah masih keluar, balut bahagian luka dengan kain bersih yang dibungkus dengan ketulan ais. Lakukan untuk beberapa ketika dengan mengganti jika ketulan ais sudah cair.
Darah yang banyak keluar semasa memancing dalam hutan, tasik atau paya turut mengundang bahaya daripada binatang buas seperti ular dan harimau yang derianya sangat tajam mencium baunya. Justeru, rakan pancing mesti berikhtiar pantas memberhentikan darah yang mengalir serta menghilangkan kesan darah yang tumpah di bumi.
Oleh Nuri Angkasa (Petikan dari Joran, Berita Harian)
Jangan memancing ketika petir
KU sangka cuaca cerah hingga ke petang, rupanya mendung di tengah hari. Bagi kaki pancing apabila mendung tiba, itulah petanda ribut akan turun. Bagaimanapun, sebelum ribut, pastinya kilat menyambar dulu.
Petua Pak Nuri kali ini mengajak pemancing berkongsi maklumat dan pengalaman mengenai cuaca sebelum mereka memancing - sama ada di laut, sungai, tasik, parit atau kolam komersial.
Ketika cuaca kurang baik seperti guruh dan kilat sabung-menyabung, pemancing dinasihatkan tidak meneruskan aktiviti memancing terutama mereka yang menggunakan kekili elektrik berkuasa bateri. Ini kerana dikhuatiri kekili akan disambar petir lalu berlakunya renjatan elektrik.
Keadaan ini boleh membahayakan pemancing, namun ikhtiar perlu dilakukan serta merta dengan melepaskan joran pancing daripada tangan tapi tidaklah dicampak ke laut.
Kumpulan pemancing yang menggelarkan diri mereka ‘Pemburu Ombak’ yang diketuai anak keluarga nelayan, Atan Lintang, pernah mengalami peristiwa disambar petir pada batang joran pancing yang menggunakan kekili elektrik. Mangsa yang terkena renjatan elektrik itu jatuh pengsan, tapi segera dipulihkan rakan pemancing yang berpengalaman.
Sehubungan itu, atas beberapa faktor dan demi keselamatan pemancing, Pak Nuri berpesan pemancing mengelak daripada melakukan aktiviti memancing ketika cuaca guruh dan kilat, biarpun pada ketika itu ikan galak memburu umpan.
Bagi pemancing di darat seperti di tepi tasik, tebing sungai atau lombong, sebaik-baiknya mengelakkan diri daripada berteduh di bawah pokok rendang atau terdedah di tanah lapang kerana dikhuatiri disambar petir.
Oleh Nuri Angkasa (Petikan dari Joran, Berita Harian)

