Oldskool branding name but not a quality and performance...

Wednesday, June 9, 2010

Pengenalan

Salam pengenalan kepada semua blogger-blogger dan yang terutama sekali pada peminat arena memancing mahupun pancingan parit, tali air, sungai, tasik, lombong ataupon laut.

Hasrat atau hobi memancing yang baik sangat digalakan dipupuk bagi mengelakkan generasi akan datang masih dapat mengenal species ikan, habitat ikan walaupon dari segi teknologi kita boleh dikatakan maju mengikut arus pembangunaan.

Blog ini adalah bertujuan merapatkan lagi 'angler-angler' baru mahupon yang lama tentang teknik, mencari barangan pancing yang baru mahupon yang lama, tekong-tekong tersohor tanahair mahupon negara jiran serta informasi pertandingan mememancing yang bakal diadakan berhampiran dengan anda.

Kunjungan anda dialu-alukan dan sebarang komen boleh diberikan bagi membantu sukan memancing agar terus di'hobi'kan dari generasi ke generasi seterusnya.

Snell

This method of snelling a hook utilizes the Uni Knot. Hooks tied with a Snell Knot provide an even, straight-line pull to the fish.

Wednesday, May 26, 2010

Tidur - tidur ayam

TIDUR memainkan peranan penting kepada kesihatan seseorang sama ada semasa memandu kenderaan di daratan atau mengendalikan bot, atau kapal semasa di lautan. Jika mengantuk yang tidak terkawal boleh membawa mudarat seperti terbabit dalam kemalangan sama ada di jalan raya atau di laut.

Kali ini Pak Nuri ingin berkongsi pengalaman di laut selain menjadi tempat kita mencari rezeki, laut juga tempat yang penuh dengan cabaran walaupun tidak sesibuk se perti di darat. Namun laut tetap dikategorikan sebagai tempat berbahaya yang mesti difikirkan sebelum melangkah turun ke laut.

Pengalaman yang hendak dikongsikan kali ini walaupun dianggap ringan tapi faedahnya besar. Kaki pancing yang sentiasa menjalani aktiviti memancing di laut digalakkan supaya belajar `tidur-tidur ayam' terutama kepada tekong. Cara berkenaan mempunyai kebaikan terutama untuk menjaga keselamatan dan bertindak pantas jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Tidur-tidur ayam dalam bot tidak banyak menimbulkan masalah kerana tidak perlu disediakan tilam atau bantal kerana kita bukan bertujuan untuk tidur nyenyak semasa menjalankan aktiviti memancing namun tidur untuk berehat supaya mendapat semula tenaga, sebelum meneruskan aktiviti memancing yang mungkin berlarutan hingga beberapa hari.

Tidur nyenyak yang panjang ketika di laut merugikan masa yang sepatutnya digunakan untuk memancing, sebab itu tidur-tidur ayam digalakkan supaya masa memancing lebih panjang.
Satu lagi tidur-tidur ayam juga untuk menjaga keselamatan. Pernah berlaku peristiwa yang hampir meragut nyawa sepuluh pemancing dalam satu bot yang dapat mengubah haluan kapal dagang daripada melanggar bot pemancing terbabit.

Pemancing yang tidur-tidur ayam dapat melakukan tindakan keselamatan dengan memberi isyarat lampu kepada kapal terbabit yang akhirnya dapat dikesan oleh kapal yang berhadapan dengan mereka. Sebab itu kebanyakan tekong dan pemancing berpengalaman tahu cara bagaimana untuk tidur-tidur ayam ketika berada di laut.


Oleh Nuri Angkasa (Petikan dari Joran, Berita Harian) 

Tekong Port Dickson, N9 - Tekong Shamsudin

Tekong Shamsudin@Mohd Shamsuddin Abdullah, beliau yang juga seorang kontraktor amat arif mengenai lubuk ikan di sekitar perairan Port Dickson seperti di Tanjung Tuan, Tanjung Agas dan Lukut, serta lubuk sehingga 18 batu nautika berhampiran perairan sempadan perairan antarabangsa.

Beliau menggunakan peralatan moden termasuk sistem penentu kedudukan global (GPS) dan alat penduga gema (echo sounder) kerana penggunaan peralatan ini mampu memberikan hasil lumayan. Pada masa yang sama menjimatkan masa kerana tidak perlu bersusah payah mengesan lubuk di laut yang tiada penanda, melainkan penggunaan GPS.

Beliau berkata, lubuk kapal karam di perairan berkenaan kaya dengan pelbagai spesies seperti gerepoh, kerapu, jenahak, talang dan pari. Tidak kurang juga spesies jahan, mayong dan kalau bernasib baik aruan tasik atau tenggiri mampu diperoleh pemancing.

Boleh dihubungi: HP0133105900.

Tekong Yan, Kedah - Tekong Halim


Halim Ismail, 36, berasal Yan Kedah menjadikan Kuala Dulang sebagai tempat tumpuan kaki pancing dan nelayan. 
Beliau cukup rajin dan sentiasa berusaha mendapatkan tenggiri untuk pelanggan. Setiap waktu digunakan sepenuhnya supaya usaha beliau menjadi inspirasi pelanggan untuk turut sama berusaha memancing.

Menjerat tenggiri di sini memerlukan seseorang melakukan casting berterusan kerana spesies ini tidak memilih waktu untuk membedal umpan asalkan hidangan sentiasa berada di wilayahnya.

Jika musim memuncak, beliau keluar lebih tiga kali seminggu untuk memenuhi tuntutan pelanggan yang kebanyakan taksub dengan penangan dan kelincahan tenggiri merembat umpan. Malah ramai kumpulan pemancing mendapat habuan lebih besar apabila hasil tangkapan boleh mencecah ribuan ringgit untuk tempoh setengah hari memancing. Sebab itu, pemancing menggunakan sepenuhnya peluang yang ada selain puas memancing. Kos memancing ditampung dengan hasil jualan tenggiri yang mencecah RM16 sekilogram.

Tenggiri di situ mudah diperdaya dengan teknik casting menggunakan umpan ikan pelaling mati. Selain umpan mati, umpan ikan hidup dari unjam juga lebih cepat memikat tenggiri. Selain itu, sotong plastik dan jig bulu ayam juga boleh digunakan ketika casting.

Boleh hubungi: HP019-5577406

Tekong Pekan, Pahang - Tekong Supian


Supian Keranda@Mahamed Supian Yahya, sebut saja nama Supian Keranda sejumlah besar masyarakat di sini akan mengenali beliau sebagai pembuat dan penjual keranda manakala di kalangan pemancing mengenalinya sebagai tekong hebat.

Beliau sering memancing pada hujung minggu dan setelah penat bekerja membuat keranda sepanjang minggu,” katanya yang masih muda dan bersemangat sering dipanggil untuk membawa pemancing terutama pada musim terbuka (bulan April hingga Oktober) untuk menduga beberapa lubuk di periaran daerah berkenaan.

Mahamed senang berkongsi pengalaman pada siri Royal Pahang Billfish International Challenge apabila menyumbang khidmatnya sebagai tekong bagi menjayakan program besar itu.

Sikap mesra dan peramah Mahamed memudahkan pemancing mengetahui banyak lubuk memancing di perairan Pekan itu.

Boleh dihubungi: HP012-9558237

Tekong Sedili, Johor - Tekong Anuar


Tekong Anuar@Ibrahim Jusoh yang memberi khidmat menyewa bot bagi kaki pancing yang ingin menduga di perairan Sedili. Beliau seorang yang peramah dan mudah didekati.
Menurut beliau, kebiasaan pemancing menyewa bot selama dua hari satu malam, terutama setiap hujung minggu. Malah tempahan bot perlu dibuat lebih awal bagi mengelakkan bot ditempah pemancing lain.

Botnya yang dilengkapi sonar dan GPS itu amat sesuai untuk kaki pancing kerana kemudahan yang ada dibuat berdasarkan keperluan pemancing termasuk tempat meletak joran. Tekong Anuar biasanya akan membawa kaki pancing beradu nasib di Karang Kemaman, Karang Ya dan Karang Tengah untuk menjinakkan tenggiri dan ikan karang.

Jika rajin memancing ikan selar, cencaru, kembung dan tamban maka spesies itu boleh dipancing sehingga memenuhi tong yang dibawa. Selain tenggiri, ikan jenahak dan bayan adalah antara spesies popular di kawasan karang perairan ini.

Boleh dihubungi: HP019-7633473

Tekong Kuching, Sarawak - Tekong Jenal

MELALUI pengalaman selama enam tahun menjadi tekong, Jenal atau nama penuh Zainal Abidin Abdul Halim, 37, sudah dapat memenuhi cita rasa kebanyakan pemancing merupakan anak jati Semariang dekat Kuching, Sarawak. Menetap di pinggir Sungai Semariang, beliau boleh dikatakan cekap mengemudi bot dan pakar selok belok sungai di Sarawak. Kemahiran membaca GPS dan sonar turut menjadi satu kemahiran tekong ini. Minat memancing membuatkan beliau tidak kedekut berkongsi pengalaman dengan pemancing lain. Kulit agak gelap menunjukkan anak muda ini sering berjemur di bawah terik sinar matahari.

Lubuk yang biasa dikunjungi paling dekat memakan masa dua jam dari jeti, manakala paling jauh lebih daripada lapan jam perjalanan. Masa diambil biasanya bergantung kepada kedudukan lubuk serta jenis ikan yang dihajati pemancing.

Antara lubuk yang sering dikunjungi ialah Karang 56, Karang 59, tukun kapal Thailand, tukun kapal Belanda, tukun kapal Jepun, tukun bas, tukun kuboid, serta lubuk ibu gelama atau aron.

Bot beliau dilengkapi kemudahan tandas, dapur, tempat letak joran, dua ruang bilik tidur atas dan bawah, bekalan air tawar sonar dan GPS boleh memuatkan lapan pemancing pada satu masa.

Boleh dihubungi: HP012-8562179 / 019-8574492

Tekong Pulau Kapas - Tekong Abdul Aziz Md Nor

Abdul Aziz Md Nor

Di perairan Pulau Kapas (gelanggang pesta sotong) sudah dikenali lubuk dan karang serta jenis spesies ikan yang menghuni kawasan itu. Beliau mempunyai bot yang boleh dibawa memancing jauh ke laut lepas atau bot sederhana besar untuk berkunjung ke unjam dan karang berdekatan bagi mendapatkan pertarungan dengan ikan karang seperti ikan ebek, kerapu, jemuduk, jenahak mahupun merah.

Beliau mahir mencari tempat kumpulan sotong melalui teknik mencandat waktu malam yang musimnya setiap April, Mei dan Jun setiap tahun. Ataupun, beliau berpindah ke lokasi yang dihuni ikan karang, selain memancing.

Pemancing yang inginkan khidmat atau mencandat sotong di Pulau Kapas, boleh hubungi beliau terus di nombor seperti tertera.

Boleh dihubungi: HP019-9263401.

Tuesday, May 25, 2010

Pertandingan Memancing Terbuka Dan Karnival di Taman Tasik Taiping


Salam untuk semua peminat arena ini dan khususnya pemancing tegar di kawasan Utara.

Pertandingan dan karnival ini terbuka untuk seisi keluaraga beriadah di samping dapat meneruskan hobi yang dapat memberikan hadiah lumayan.

Sila hubungi terus di nombor yang tertera atau boleh terus ke blog http://jorantaiping.blogspot.com/

Wednesday, May 19, 2010

Tekong Kuala Sedili - Tekong Mat Nor

Mat Nor Samsudin

Antara lubuk kegemaran beliau membawa kumpulan pemancing ialah Karang Timur kira-kira dua jam lebih dari muara Kuala Sedili. Lubuk yang ditambah dengan unjam berhampiran karang menambahkan lagi tarikan ikan datang dan menghuni kawasan terbabit.
Tidak mustahil jika beliau memberitahu ada satu lubuk dihuni pelbagai spesies ikan seperti tenggiri, merah, jahan atau duri laut, jenahak, kaci, bayan, aruan tasik dan pelbagai ikan pelagik.

Kemahirannya semakin diperakui apabila pemancing yang menggunakan khidmat beliau ketika GP Joran 2009 baru-baru ini memenangi tempat pertama dengan ikan tenggiri 13 kilogram. Malah pelbagai lagi spesies ikan bersisik turut dibawa pulang oleh peserta berkenaan.

Dengan kadar sewa yang berpatutan dikenakan kepada pemancing, tekong Mat Nor tidak menjanjikan ikan yang bersaiz gadang tetapi kepuasan pemancing adalah menjadi keutamaan beliau. HP: 019-7099169 .

Tekong Pulau Jemur, Pulau Angsa dan sekitar perairan Rumah Api

Ah Long, sudah mempunyai empat buah bot beserta dengan tekong berpengalaman yang boleh membawa pemancing hingga ke Rumah Api Beting Sedepa. Tekong seperti Khalid dan Wak Jumino paling dapat kepercayaan dari pemancing yang dibawanya, malah mereka rata-rata memuji akan rama mesra dan tunjuk ajar teknik memancing hinggakan pada cara memotong umpan. Ah Long memberikan sepenuh kepercayaan kepada tekong-tekongnya malah terus memberi taklimat pada tekongnya sebelum turun ke laut. Malah beliau tetap ada di jeti bagi menentukan kami selamat pulang.

Prinsip Ah Long mahukan pemancing yang menggunakan khidmat tekongnya pulang tidak dengan tangan kosong paling tidak ikan gelama sepang, gelama pisang (sewak) atau tetanda dan pari pasti dapat di bawa pulang, tapi mesti pergi pada air mati. “Saya tak bagi pergi mancing pada air besar, mesti pergi pada air mati,” kata Ah Long menamatkan ceritanya pada penulis yang berada di jetinya Jeram Sungai Buluh baru-baru ini.

Kepada kaki pancing yang inginkan khidmat tekong-tekong bot Ah Long boleh berhubung terus dengan beliau di talian HP: 0122363417.

Tekong Kuala Besut, T'ganu - Tekong Pak Hitam



Bot kayu sepanjang 50 kaki berpangkalan di jeti nelayan Kuala Besut, biasanya mengambil masa lebih 12 jam untuk ke destinasi dan selesa dengan membawa 10 pemancing pada satu trip.
Menariknya Pak Hitam ialah, sepanjang perjalanan ke destinasi utama, beliau akan singgah di beberapa unjam atau karang laut bagi mencari umpan. Jika bernasib baik ikan besar boleh didapati.

Jika ada pemancing ingin merasai tarikan ganas merah pucat bersaiz besar, hubungi Pak Itam: 019-9403715

Tekong Pulau Kapas - Tekong Mazoney


Mazoney


Tekong Mazoney, beliau berpegang kepada amalan merendah diri dan bertanggungjawab ketika berada di laut. Sikap begini sekali gus memberi kepuasan kepada pemancing dalam semua aspek sambil terus membantu tekong untuk mendapatkan lokasi yang terbaik.
Mereka yang ingin merasai pengalaman memancing di sekitar perairan Marang (Pulau Kapas).

Boleh dihubungi: HP019-9637879.

Buah-buahan masam ubat mabuk laut

MASIH banyak petua atau amalan yang perlu dilakukan oleh pemancing terutama kepada pemancing laut dalam yang sering menghadapi mabuk atau mual tekak ketika ekspedisi.

Pandangan beberapa veteran nelayan boleh diberi perhatian mengenai masalah ini. Mual atau mabuk laut berlaku sejak dulu lagi dan pelbagai usaha dilakukan untuk mengatasinya. Hasilnya, pelbagai cara dan kaedah dilakukan bagi mengekang musibah itu yang pasti akan membantutkan keseronokan dan pemburuan. Namun paling mudah dan berkesan ialah dengan membawa makanan ringan seperti buah-buahan atau gula-gula yang tidak keterlaluan masamnya.

Gula-gula yang ada rasa masam biarkan sentiasa berada dalam mulut untuk mengelak tekak tidak kering. Cengkih juga dapat membantu sebagai langkah ikhtiar mencegah daripada menghadapi mabuk atau mual serta tekak kering.

Pernah berlaku dalam beberapa aktiviti memancing laut dalam, keadaan cuaca panas terik mengakibatkan beberapa kaki pancing diserang mabuk, mual-mual dan tekak kering. Walaupun mereka sudah meneguk beberapa botol air tetapi keadaan masih berada pada tahap yang sama. Namun setelah diberi cengkih untuk beberapa ketika, keadaan mabuk dan kering tekak dapat dipulihkan.

Kemudian anda perlu mengelak daripada terus mendedahkan diri di bawah bahang panas matahari dalam tempoh yang lama.

Faktor lain yang perlu diambil kira ialah memakan buah-buahan masam yang mengandungi banyak air supaya badan sentiasa berada dalam keadaan lembap dan berair selain daripada berpeluh.

Pada masa sama, anda perlu mengambil tindakan ketika berada di laut untuk mengelak daripada terus mabuk dan muntah.

Antara petua terbaik demi menjaga keselamatan, anda dinasihatkan tidak membongkok di bibir bot dengan menghulurkan kepala keluar ketika melepaskan muntah. Perbuatan ini sangat berbahaya kerana risiko anda boleh terhumban ke laut sangat besar dalam keadaan kawalan diri anda yang sudah tidak menentu atau tidak seimbang itu.

Namun dalam apa juga keadaan, kerjasama daripada semua pemancing dalam bot mesti dilakukan bagi bertindak sebagai sebuah pasukan.


Oleh Nuri Angkasa (Petikan dari Joran, Berita Harian)

Joran sebatang cukup untuk teroka laut

KITA sering berdepan dengan kerenah nafsu hingga mendorong dan mendesak kepada hasrat untuk membawa seberapa banyak peralatan ketika turun memancing. Akibatnya, perkakasan itu memenuhi segenap ruang dalam bot atau dalam kereta dan van ketika dalam perjalanan ke jeti.

Ada sesuatu yang menarik ketika Pak Nuri berbual dengan seorang pemancing veteran dari perkampungan nelayan di Besut, Terengganu baru-baru ini. Dia hanya cuma membawa beberapa peralatan memancing yang difikirkan perlu untuk satu-satu masa. Cara ini sudah tentu dianggap lebih selesa dan kita tidak perlu memikirkan untuk membuat pilihan yang terlalu banyak ketika di atas bot.

Sikap dan amalan ini dianggap paling sesuai. Justeru, Pak Nuri mencadangkan kepada semua kaki pancing terutama kaki pancing udang galah di sungai supaya tidak mengamalkan membawa joran pancing sehingga sepuluh batang yang diikat dalam satu berkas macam kayu api!

Adalah lebih sesuai dan munasabah dengan menggunakan dua batang joran saja jika memancing di laut. Malah sikap membawa terlalu banyak joran juga dirasakan tidak selesa jika joran disambar ikan serentak.

“Tentu kelam kabut dibuatnya,” kata pemancing veteran itu yang mendapat gelaran Pokde Deris sambil menggayakan dua belah tangan menjulang joran pancing.

“Habis (kalau terlalu banyak joran) macam mana nak gulung tali?” katanya sambil ketawa besar mengingatkan peristiwa benar yang berlaku pada dirinya ketika muda dulu.

Sambil meletakkan dua batang joran lamanya di lantai serambi rumah, dia menggeleng kepala kerana terlepas dua rezeki yang sudah berada dalam tangan kerana tidak dapat mengawal kedua-dua jorannya dengan baik.

“Kalau satu joran, kata adat dah tentu mangsa dapat didaratkan. Tetapi ada yang tamak maka rezeki terlepas begitu saja,” suaranya kesal lalu mengingatkan kepada semua kaki pancing supaya tidak menggunakan joran pancing lebih dari dua batang dalam satu-satu masa.

Cara ini juga tidak menyusahkan rakan pancing yang lain selain tidak banyak tali yang dilabuhkan ke dasar yang boleh mengundang tali tersangkut antara satu sama lain dalam keadaan arus yang kadang-kadang bertukar sekelip mata.

Justeru, daripada pengalaman Pokde Deris adalah lebih jelas dan baik untuk kita menjadikan petua amalan dengan membawa peralatan memancing secara terhad demi memberikan keselesaan kita yang hendak memancing dan tidak mengganggu rakan pancing yang lain. Ini sekali gus tidak membawa beban yang berat kerana tidak semua peralatan berkenaan di gunakan pada satu-satu masa.

Keselesaan perlu diambil kira untuk memancing bukan beban yang banyak di bawa ketika hendak turun memancing sama ada di kolam, tasik, muara mahupun laut dan sungai.


Oleh Nuri Angkasa (Petikan dari Joran, Berita Harian)

Jangan buang tangkapan pertama

ADA petua yang mengatakan - rezeki pertama yang didapati pada setiap kali aktiviti memancing sangat berkat terutama kepada kaki pancing sama ada di laut mahu pun di darat.

Petua kali ini memfokuskan kepada pemancing di laut. Justeru, ingatlah apabila kita mendapat ikan pertama sebaik saja mulakan aktiviti memancing maka itu adalah rezeki dari Allah dan tidak harus dibuang semula ke laut jika ikan itu sangat kecil atau spesies ikan yang tidak berguna.

Pendapat dan pandangan beberapa orang nelayan veteran yang ditemui mengakui bahawa rezeki pertama itu jika dibuang semula ke laut atau tasik mahu pun sungai ertinya kita tidak mensyukuri nikmat pemberian Allah sedangkan kita mencari rezeki lumayan buat keluarga.

Pernah berlaku nelayan pulang dengan tangan kosong kerana dikatakan membuang ikan pertama yang tersangat kecil yang dinaikkan dan selepas itu beliau tidak dapat seekor ikan pun hingga pulang.

“Bagaimanapun ini tidak harus diletakkan sepenuh kepercayaan, kerana rezeki datangnya dari Allah. Justeru, Allah yang menentukan sama ada kita bernasib baik atau sebaliknya selepas memperoleh tangkapan pertama itu.

“Cuma logiknya rezeki yang diberi itu kita kena mensyukuri dan tidak membuangnya semula,” kata Tok Ayub seorang nelayan veteran dari Kesang Laut, Melaka.

Pernah berlaku peristiwa begini kepada seorang pemancing laut di perairan Pulau Jarak yang mendakwa beliau tidak memperoleh seekor ikan pun sepanjang ekspedisi tiga hari dua malam kerana membuang anak ikan kerapu pada tangkapan pertama.

Namun beliau tidak langsung mengaitkan bahawa perkara itu menyebabkan beliau tidak bernasib baik. Cuma ada kemungkinan hari itu bukan harinya.

Apa pun bagi Pak Nuri, rezeki yang datang dari Allah adalah pasti dan sebaliknya cuma terpanggil mengisi logik dan kebenaran yang nyata bahawa sebarang rezeki yang diberi Allah sama ada baik atau tidak kita kena menerimanya dengan ikhlas.

Bagi Pak Nuri, langkah terbaik dan mensyukuri nikmat rezeki yang diberi Allah walau sekecil mana sekali pun kita kena menerima dengan ikhlas dan tidak membuangnya semula ke laut bagi pemancing yang memancing di laut malah adalah baik sebarang tangkapan pertama itu diambil sebagai rezeki berkat dari Allah.


Oleh Nuri Angkasa (Petikan dari Joran, Berita Harian)

Pemancing latah, sawan perlu jujur

ADA beberapa perkara penting yang hendak dikongsi bersama dengan rakan pancing melalui Petua Pak Nuri kali ini iaitu mengenai keselamatan diri ketika ekspedisi memancing di laut ataupun di mana saja.

Rakan pancing dalam kumpulan besar atau kecil adalah saudara paling rapat antara satu sama lain walaupun itu mungkin kali pertama menyertai kumpulan berkenaan.

Ketika di laut, kita perlu bekerjasama (team work) dalam apa juga keadaan. Mengasingkan diri adalah satu sifat yang merugikan diri sendiri. Malah keadaan lebih merbahaya jika kita ditimpa kemalangan yang memerlukan bantuan kawan.

Dalam bot tidak ada ibu bapa, saudara mara, doktor atau pakar bedah untuk memberikan bantuan selain rakan pancing berada dalam kumpulan itu yang akhirnya akan memberi bantuan apabila diperlukan.

Bekerjasama dan sifat suka menolong adalah budaya kita orang Melayu. Dengan cara atau sikap ini juga kita dapat membantu atau membuat persediaan lebih awal jika pemancing perlu diberi pertolongan. Kepada ahli kumpulan yang ada penyakit latah yang tidak boleh tersentuh atau terperanjat atau ada yang mempunyai penyakit sawan; sentiasa terdedah kepada pelbagai bahaya ketika berada di laut.

Setiap ahli dalam kumpulan perlu mendapat maklumat mengenai perkara ini terutama bagi rakan pancing yang baru menyertai mereka. Pak Nuri difahamkan, sering berlaku kemalangan seperti pemancing terjun ke laut apabila si latah diusik atau terperanjat. Orang yang melatah juga akan bertindak sama ada kasar, membahayakan pemancing atau diri sendiri. Justeru, ingatlah bahawa di atas bot bukan tempat untuk bergurau senda dengan si latah.

Begitu juga dengan penghidap sawan laut yang sudah tidak dapat dikawal. Justeru, menjadi tanggungjawab ahli dalam kumpulan untuk membantu dan sentiasa peka dengan keadaan ini.

Jika seseorang pemancing menghidap mana-mana penyakit itu maka berterus terang kepada rakan pancing dalam kumpulan adalah satu cara paling baik. Jangan malu untuk menyatakan keadaan sebenar sebab keadaan lebih buruk boleh berlaku jika kita berdepan dengan situasi yang datang secara mendadak dan dalam keadaan tidak bersedia.

Adalah menjadi harapan Pak Nuri supaya pemancing terbabit berterus terang terutama kepada pemancing yang baru menyertai kumpulan atau trip memancing supaya langkah awal dapat disediakan atau semua pemancing sudah dimaklumkan dan akan bertindak pantas jika berlaku keadaan yang tidak diingini.

Segan atau malu yang memerangkap diri sendiri terus berdepan dengan keadaan lebih buruk dan menyusahkan rakan kumpulan adalah satu perbuatan yang merugikan dan tidak wajar untuk menjadi seorang pemancing laut.


Oleh Nuri Angkasa (Petikan dari Joran, Berita Harian)

Anggap tidak dapat ikan sebagai ujian

RAMAI yang bertanya Pak Nuri, apakah petua yang membolehkan kita mendapat ikan setiap kali turun memancing. Pada masa sama, petua itu boleh mengatasi rakan pancing yang lain.

Ada beberapa petua yang perlu diamalkan. Ini tidak ada kaitan dengan mengamalkan serapah jampi atau kepercayaan yang boleh memisahkan akidah sebenar yang dituntut oleh agama Islam. Kita kena berpegang pada kalam Allah - rezeki, jodoh pertemuan dan kematian di tangan Allah - dan berusaha itu satu kewajipan.

Justeru, petua memancing untuk mendapat ikan, kita kena tahu jenis umpan yang digemari oleh spesies ikan di sesuatu kawasan memancing, waktu ikan lapar dan memburu umpan. Arus air laut dan perambut panjang atau pendek turut memainkan peranan bagi menarik perhatian spesies ikan.

Lokasi tukun, lubuk atau karang yang sudah dikenal pasti ada dihuni ikan dan umpan yang terbaik seperti ikan atau udang hidup tentu berjaya menjinakkan ikan dengan teknik pancing dasar atau jigging.

Dalam soal ini, tidak ada amalan serapah jampi diguna pakai bagi menarik perhatian ikan. Namun apa yang berlaku di dasar laut ialah umpan terbaik saja yang akan diburu ikan. Anda perlu selalu menukar umpan sambil bermain tali supaya umpan yang terapung itu dapat menarik perhatian ikan yang berlegar-legar di dasar.

Usaha ini perlu dilakukan dengan sabar dan yakin walaupun kadang kala ada umpan pemancing yang tidak disentuh langsung oleh sebarang ikan dalam masa yang begitu panjang sedangkan rakan pancing di kiri kanannya sudah berjaya mendaratkan pelbagai spesies ikan.

Kerana terlalu kecewa, ada pemancing akan sering bertukar-tukar joran dengan rakan sebelah. Namun beliau tetap menerima nasib yang sama. Sedangkan rakan yang menggunakan joran yang berpindah tangan itu terus mendaratkan ikan seperti biasa.

Justeru, ini bukan salah joran atau umpan yang tidak kena. Umpan yang digunakan adalah sama dan kadang kala tekong sendiri yang memasangnya. Berakhir ekspedisi 24 jam atau 36 jam, pemancing itu menerima nasib kurang baik kerana tiada seekor ikan yang dapat dipancing.

Siapa yang salah dalam perkara ini? Kenapa ikan tidak mahu menyentuh umpan pemancing ini? Sedangkan ikan mungkin banyak di dasar dan meragut umpan yang sama digunakan oleh rakannya?

Dalam situasi begini, kita harus menerima hakikat bahawa mungkin ini satu dugaan Allah dan tentu ada hikmah di sebaliknya. Anda jangan sekali-kali menyalahkan diri sendiri atau lebih teruk anda menganggap diri anda seorang yang malang.

Ingatlah, Allah yang menentukan nasib anda dan rezeki yang bakal diperoleh kelak. Syaratnya anda kena bersabar dan sentiasa bersyukur.


Oleh Nuri Angkasa (Petikan dari Joran, Berita Harian)

Pelajari amaran ribut, hujan ketika di laut

BIASANYA nelayan yang bergantung hidup di laut sepenuh masa sering mengamalkan petua sebelum melangkah turun dari rumah atau semasa melangkah masuk sampan atau bot. Tidak kurang yang melakukan jampi serapah memanggil ikan menggunakan ayat al-Quran yang sudah diketahui di dalamnya mengandungi pelbagai petua dan ubat untuk semua penyakit.

Justeru petua Pak Nuri kali ini lebih tertumpu kepada angin yang lebih awal tiba sebelum berlaku ribut. Menurut kepercayaan nelayan veteran yang sering berdepan keganasan laut terpaksa mempelajari tanda-tanda ribut akan turun, gelombang besar akan tiba, hujan, guruh dan kilat. Pastinya ada cerita tersendiri yang perlu dikaji untuk dijadikan petua bagi generasi muda hari ini.

Ada sesetengah tekong muda tidak mengambil berat tentang tanda atau mengambil mudah namun antara anda kaki pancing yang ada pengalaman harus memberikan kerjasama untuk berbincang dengan tekong sebagai langkah keselamatan.

Daripada pengalaman beberapa veteran nelayan yang dapat dipetik bahawa peringatan yang perlu diambil kira seperti guruh kuat dentumnya berserta kilat membatang dan angin pula mula sejuk bertiup di cuping telinga, anda perlu segera mencari tempat perlindungan walaupun pada ketika itu ikan galak memburu umpan.

Ketika dalam ribut dan gelombang besar sedang melanda laut, tiba-tiba hujan lebat dan ini satu tanda baik buat kaki pancing kerana hujan dapat membunuh angin dan gelombang. Anda kena bersabar kerana sebaik saja ribut berhenti dan gelombang besar kian menurun tentunya spesies ikan di dasar lapar dan kesempatan ini jangan anda abaikan.

Apa pun sesetengah tekong mudah untuk meninggalkan kawasan perlindungan kerana tidak mahu terperangkap dengan datangnya ribut kedua yang masih degil namun harapan untuk untuk melakukan aktiviti memancing terbuka luas sebaik saja ribut reda, cuma anda dan tekong mesti bekerjasama dan tidak mudah melatah kerana laut walaupun sudah berwajah baik tapi jaminan seratus peratus baiknya itu belum boleh dipercayai.

Perkara penting untuk diambil kira semasa berada di laut ialah tanda amaran ribut akan turun serta tanda ribut akan berhenti perlu dijadikan petua yang terus kekal dalam ingatan anda kaki pancing.


Oleh Nuri Angkasa (Petikan dari Joran, Berita Harian)