Oldskool branding name but not a quality and performance...

Wednesday, May 19, 2010

Jangan memancing ketika petir


KU sangka cuaca cerah hingga ke petang, rupanya mendung di tengah hari. Bagi kaki pancing apabila mendung tiba, itulah petanda ribut akan turun. Bagaimanapun, sebelum ribut, pastinya kilat menyambar dulu.

Petua Pak Nuri kali ini mengajak pemancing berkongsi maklumat dan pengalaman mengenai cuaca sebelum mereka memancing - sama ada di laut, sungai, tasik, parit atau kolam komersial.

Ketika cuaca kurang baik seperti guruh dan kilat sabung-menyabung, pemancing dinasihatkan tidak meneruskan aktiviti memancing terutama mereka yang menggunakan kekili elektrik berkuasa bateri. Ini kerana dikhuatiri kekili akan disambar petir lalu berlakunya renjatan elektrik.

Keadaan ini boleh membahayakan pemancing, namun ikhtiar perlu dilakukan serta merta dengan melepaskan joran pancing daripada tangan tapi tidaklah dicampak ke laut.

Kumpulan pemancing yang menggelarkan diri mereka ‘Pemburu Ombak’ yang diketuai anak keluarga nelayan, Atan Lintang, pernah mengalami peristiwa disambar petir pada batang joran pancing yang menggunakan kekili elektrik. Mangsa yang terkena renjatan elektrik itu jatuh pengsan, tapi segera dipulihkan rakan pemancing yang berpengalaman.

Sehubungan itu, atas beberapa faktor dan demi keselamatan pemancing, Pak Nuri berpesan pemancing mengelak daripada melakukan aktiviti memancing ketika cuaca guruh dan kilat, biarpun pada ketika itu ikan galak memburu umpan.

Bagi pemancing di darat seperti di tepi tasik, tebing sungai atau lombong, sebaik-baiknya mengelakkan diri daripada berteduh di bawah pokok rendang atau terdedah di tanah lapang kerana dikhuatiri disambar petir.


Oleh Nuri Angkasa (Petikan dari Joran, Berita Harian)

No comments:

Post a Comment